Home❯News
Bernama - Reach Energy Ambil Alih 60 Peratus Kepentingan Palaeontol BV Bernilai US$154.9 Juta
KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Reach Energy Bhd akan mengambil alih 60 peratus kepentingan dalam Palaeontol BV bernilai US$154.9 juta melalui perjanjian jualan bersyarat tiga pihak dengan Palaeontol Cooperatief UA dan MIE Holdings Corp.
Dalam satu kenyataan Isnin, Reach Energy berkata, Palaeontol BV adalah syarikat pegangan pelaburan dan pemegang kepentingan tunggal Emir-Oil LLP, yang memiliki keseluruhan kepentingan kerja 850.3 kilometer persegi dalam kawasan kontrak di luar pesisir di Kazakhstan.
Kawasan itu termasuk empat medan pengeluaran minyak dan gas dengan jumlah kawasan kontrak 45.5 kilometer persegi mengikut empat perjanjian yang ditandatangani secara berasingan di antara Kementerian Tenaga Kazakhstan dan Emir-Oil untuk pengeluaran hidro karbon.
Reach Energy berkata, baki kawasan yang dikontrak 804.8 kilometer persegi ditandatangani di antara pihak terbabit untuk penerokaan, pembangunan dan pengeluaran berterusan hidrokarbon.
Ketua Pegawai Eksekutif Shahul Hamid Mohd Ismail berkata, medan pengeluaran dan kawasan penerokaan Emir-Oil menawarkan peluang unik kepada Reach Energy untuk melabur dan mengendali portfolio minyak dan gas yang seimbang meliputi pengeluaran huluan, pembangunan dan aktiviti penerokaan.
"Medan pengeluaran itu dalam peringkat pengeluaran awal dan utama dan medan pembangunan kini di bawah pengeluaran perintis.
"Kami percaya terdapat potensi besar melalui lebih banyak usaha, teknik dan skim terancang," tambahnya.
Selepas penyelesaian cadangan pengambilalihan itu, Reach Energy melalui kepentingan ekuiti 60 peratus dalam Palaeontol BV, akan mempunyai pemilikan majoriti dan kawalan berkesan ke atas Emir-Oil.
-- BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1222584